Thursday, June 4, 2009

pemergian

segumpal darah mendiami rahim,
dihembus nyawa dari yang Esa,
disitulah aku bermula,
disitulah aku menetap,
selama beberapa bulan,
menumpang simpati,
menagih kasih,
bernyawa, bermastautin seketika,
umpama parasit yang mendiami perut insan yang bernama ibu,
tanpa sebarang keluhan dari perumahnya.
...

pada masa yang sama,
seorang lagi insan bernama ayah,
berusaha atas nama Allah dan keluarga,
mengerah keringat,
dengan segala kudrat,
demi menjamin keselamatanku,
kebajikanku,
agarku tidak lapar,
agarku bisa menghirup udara dunia,
perkara yang sentiasa bermain dimindanya adalah,
masa hadapanku,
agarku tidak sengsara hidup,
seperti dirinya waktu kecil.
...

akhirnya tiba masa aku dilahirkan,
umpama kain putih yang suci,
tiada kotoran,
tiada debu,
bebas dari dosa,
terpancar kegembiraan dimata mereka,
penuh keazaman dihati mereka,
untuk memastikanku berjaya,
memastikan perjalanan hidupku lancar,
tiada langsung rasa kesal dilubuk hati mereka,
malah mereka merasa bangga dengan kurniaan Illahi,
menimang cahaya mata,
tanggungjawab terbesar bagi hidup mereka.
...
kini aku telah dewasa,
mengenal erti dunia,
corak yang cantik pada dasar putihku,
kian dipenuhi,
ada yang cantik,
ada yang buruk,
aku menjadi insan yang bernama lelaki,
adakah aku lupa tentang mereka?
adakah aku mengabaikan mereka?
dua insan yang bergelut dengan nyawa,
untuk menghadiahkan dunia sementara ini kepadaku,
insan yang bergelar ayah dan ibu.
...
tiba satu detik dalam hidupku,
mereka pergi jauh dariku,
terasa perit sungguh dadaku,
bergelinang kelopak mataku,
kutahan dengan penuh kesabaran,
ibu mengucapkan ayat indah kepadaku,
sebak, umpama ditikam duri paling tajam,
kutahan demi adik-adikku,
berbisik hatiku "jangan sukarkan pemergian mereka",
"ya Allah kuatkan hatiku, demi mereka".
...

saat mereka melangkah,
sayup aku melihat bayang-bayang mereka pergi,
jauh dariku, dari tanah air ini,
perjalananku pulang sukar,
perjalanan paling sukar dalam hidupku,
air mata panas mengalir ke pipi,
tiada apa yang menghalang ia lagi,
terkenang aku pada adikku yang tidak mahu melepaskanku,
bila akan aku ketemu mereka lagi?
setelah adikku dewasa?
...
baru kini ku tahu sukarnya bila terasing,
jauh dari pangkuan mereka,
jauh dari pandangan mereka,
kesal kerna jarang sekali aku melafazkan kata aku cinta padamu,
jarang sekali aku siarkan kasihku,
ingin saja ku ulang waktu,
agar dapat mereka tahu,
apa yang tersirat dihati,
ketulusan rasa cinta ini,
keikhlasan rasa kasih ini.
...
sesungguhnya,
hanya Tuhan mampu membalas jasa mereka,
yang mencintaiku,
mengasihiku setiap masa,
setiap detik dalam hidupku,
ibu, ayah, adik-adik,
aku tidak akan menangis lagi,
kerna kutahu,
tujuan kalian kesana,
meninggalkanku bukan sengaja,
tapi untuk diriku,
aku relakan,
dan ia menjadi semangat bagi sisa-sisa perjuanganku...


~AL-FATIHAH BUAT MUSLIMIN DAN MUSLIMAT YANG TELAH PERGI~

No comments: